Timbang semula penjualan babi hutan di tepi jalan: Jimmy
TENOM, 21 Ogos, 2010: Kerajaan diminta menimbang semula keputusan larangan
penjualan daging babi hutan di tepi- tepi jalan dan juga larangan
menternak babi kampung di seluruh negeri Sabah.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menyifatkan bahawa
tindakan Kerajaan Negeri Sabah mewartakan larangan tersebut sebagai tidak
menghormati kaum Kadazandusun dan Murut. Ini bercanggah dengan deklarasi
pembentukan Malaysia dalam konteks menjaga keharmonian kaum-kaum di Sabah
dan Sarawak.
Jimmy yang juga Ketua CLC SAPP Tenom mengingatkan bahawa babi peliharaan (babi
kampung) bukan sahaja daging untuk makanan oleh suku tersebut (bukan
muslim), tetapi juga digunakan untuk perubatan tradisional (saikong/mararawak)
selain dijadikan "berian kahwin" dan juga "sogit" apabila berlakunya
perlanggaran adat oleh anggota suku itu.
Mengenai dengan daging babi hutan, kerajaan perlu terbuka dan harus
menerima kenyataan bahawa daging tersebut bukan dijual kepada orang muslim,
"jadi …. mengapakah kerajaan dengan sewenang- wenangnya melarang penjualan
daging tersebut di tepi- tepi jalan?," ujar Jummy.
Menurut Jimmy, aktiviti memburu diamalkan sejak sebelum merdeka lagi.
Aktiviti ini dapat membantu keluarga mereka untuk mendapatkan daging
makanan dan selebihnya dijual untuk mendapatkan wang bagi keperluan rumah.
"Aktiviti berburu bukan sahaja menggunakan senjatapi tetapi juga dengan
menggunakan lembing, sumpitan atau jerat. Jadi… apa yang dibimbangkan
sangat oleh kerajaan kononnya untuk mengurangkan aktiviti pemburu haram?," soal Jimmy.
Jimmy berharap, larangan itu dilonggarkan kembali sebagai menjaga
keharmonian kaum di Sabah dan menghormati cara hidup masyarakat
Kadazandusun dan Murut. |