Projek Pusat Internet Desa terbengkalai
TENOM,
Ogos 26, 2010: Siasatan perlu
dijalankan ke atas pembinaan Pusat Internet Desa di Kg Pulong, kira-kira
15 kilometer dari sini kerana projek yang sepatutnya dapat meningkatkan
taraf celik komputer penduduk itu terbengkalai pembinaannya sejak 2008.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah memberitahu
pihaknya difahamkan bahawa kontraktor yang sepatutnya menyiapkan projek
berkenaan telah meninggalkan kerja-kerja pembinaan di separuh jalan dan
tidak pernah muncul lagi.
"Sepatutnya pemantauan dibuat ke atas pembinaan Pusat Internet Desa itu
agar dapat disiapkan. Kini projek berkenaan ditinggalkan terbiar dan
menimbulkan tanda tanya bagaimana projek yang penting dan sudah mendapat
peruntukan itu ditinggalkan terbiar," kata Jimmy.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Melalap tidak menolak kemungkinan
bahawa projek itu telah melalui proses pelaksanaan yang tidak cekap
sehingga menimbulkan masalah kepada sub-kontraktor pelaksana.
Menurut Jimmy, sekiranya benar projek berkenaan telah beralih tangan
dari sebuaah syarikat kontraktor kepada kontraktor lain, bagaimana sub-kontraktor
terakhir dapat menyiapkan pembinaan apabila jumlah peruntukan tidak lagi
dapat menampung kos sebenar pembinaan.
Jimmy seterusnya meminta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK)
yang bertanggungjawab melantik kontraktor tersebut agar mencari jalan
penyelesaian untuk menyiapkan pembinaan kemudahan internet desa itu.
Pusat Internet Desa amat diperlukan di kampung-kampung untuk
dimanfaatkan oleh penduduk dan golongan belia agar tidak ketinggalan
menggunakan media siber untuk memperolehi pelbagai maklumat yang berguna
untuk kehidupan masa kini. |