Lawatan pemimpin SAPP sempena Hari Raya Aidilfitri
KOTA
KINABALU, 14 Sept 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa Jabatan Air
Negeri menangani masalah bekalan air di Kampung Likas, di sini, selepas
paip utama ke kampong itu didapati pecah.
Timbalan Presiden SAPP Datuk Liew Teck Chan berkata, beliau mendapati
masalah itu berlaku apabila mengunjungi beberapa rumah rakan kenalan pada
Hari Raya Aidil Fitri di kampong itu.
"Masalah itu berlaku sejak hari pertama Hari Raya Aidil Fitri lagi
sehingga menyebabkan para penduduk kampong yang beragama Islam menghadapi
kesukaran membuat persediaan menyambut perayaan itu.
"Bayangkan kesukaran yang mereka hadapi terutamanya apabila hendak memasak
juadah istimewa seperti rendang dan lain-lain untuk dihidangkan kepada
para tetamu selain sanak saudara yang datang dari jauh hanya untuk balik
kampong beraya," katanya.
Beliau selaku Timbalan Presiden SAPP berkata demikian selepas dimaklumkan
tentang masalah itu ketika mengunjungi rumah sahabat handai dan para ahli
parti di kampong itu sempena Hari Raya Aidil Fitri ini.
Turut menemani Teck Chan membuat kunjungan itu ialah Datin Seri Panglima
Stella Yong iaitu isteri Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee,
Datin Chu Yun Moi iaitu isteri Teck Chan, Setiausaha Agung SAPP Richard
Yong, Naib Presiden SAPP cum Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang Melanie
Chia, Naib Presiden SAPP Don Chin, Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah,
Penolong Setiausaha Agung SAPP Foo Fook Ming dan beberapa pemimpin parti.
Teck Chan berkata, para penduduk yang beragama Islam di kampong itu sudah
tentu tidak akan menghadapi sebarang kesukaran membuat persediaan
menyambut perayaan itu jika Jabatan Air bertindak cepat memperbaiki paip
yang rosak itu.
Katanya, beberapa penduduk di kampong itu juga melaporkan bahawa mereka
terpaksa membeli air paip bersih untuk kegunaan utama harian seperti
memasak dan minum.
Menurut beliau, ada air paip bersih itu dijual pada harga RM1 setiap satu
botol besar air mineral bersaiz 1.5liter dan keadaan sedemikian sudah
tentu menyusahkan para penduduk kerana terpaksa mengeluarkan belanja besar
hanya untuk mendapatkan bekalan air bersih.
|