Masyarakat Islam Sokong SAPP
KOTA KINABALU, 20 SEPT 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) yakin parti itu dapat
mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri Sabah pada pilihanraya akan
datang berdasarkan kepada sokongan kuat rakyat samada dari kalangan
penduduk luar bandar mahupun bandar.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, keyakinan itu
didapati apabila ramai rakyat berbilang kaum terutamanya mereka yang
tinggal di luar bandar beramai-ramai menyertai SAPP.
"Konsep perpaduan tanpa mengira kaum yang diterapkan SAPP telah menarik
minat ramai rakyat menyertai parti ini terutamanya mereka yang tinggal di
kampung-kampung, pedalaman dan kawasan yang jauh dari kota," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri
SAPP 2010 peringkat negeri Sabah di Plaza Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Hadir sama isteri beliau Datin Seri Panglima Stella Yong, bekas Menteri
Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor, Penasihat SAPP Datuk Murshidi Nambi,
Penasihat SAPP Datuk Francis Yap, Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli
Parlimen Sepangar Datuk Eric Majimbun dan Timbalan Presiden SAPP merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan.
Turut hadir Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong, ADUN Luyang
merangkap Ketua Wanita SAPP Melanie Chia, Naib Presiden Amdi Sidik, Naib
Presiden Don Chin dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi SAPP serta ahli
politik veteran Datuk Saidi Lampoh.
Teck Lee berkata, ramai pemimpin politik beragama Islam juga kini
menyokong dan seterusnya menyertai SAPP kerana percaya dan yakin dengan
perjuangan parti berbilang kaum ini yang memperjuang dan menegakkan hak
serta kepentingan rakyat Sabah.
Katanya, konsep menghormati agama yang di anuti para ahli serta pemimpin
SAPP juga telah mendapat tempat dikalangan semua pihak apabila banyak
program amal dijalankan pada bulan puasa baru-baru ini.
Menurut beliau, program amal dan pembahagian ole-ole pada bulan puasa yang
diperluaskan ke kawasan-kawasan luar Kota Kinabalu seperti Kota Belud,
Beaufort, Tanjung Aru, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu telah menunjukkan
penghormatan SAPP terhadap rakyat beragama Islam diterima semua pihak.
Katanya, selain itu semua pejabat SAPP sehingga ke peringkat Jawatankuasa
Perhubungan Kawasan (CLC) di seluruh Sabah juga menghormati bulan puasa
apabila tidak menghidangkan makanan atau minuman pada waktu puasa secara
sukarela.
Beliau berkata, konsep saling hormat menghormati serta perpaduan yang
diamalkan SAPP bakal menjadi pemangkin kepada pembentukan kerajaan negeri
Sabah yang baru pimpinan SAPP selepas pilihan raya nanti.
|