Sabah Tidak Perlu 1Malaysia
KOTA KINABALU, 20 SEPT
2010: Sabah tidak memerlukan konsep 1Malaysia kerana perpaduan dikalangan
rakyat sudah lama terjalin di negeri ini.
Bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor berkata, perpaduan
dikalangan rakyat berbilang kaum di Sabah bukan sesuatu perkara baru
kerana keadaan itu sudah diamalkan sejak sekian lama.
"Kita di Sabah tidak memerlukan 1Malaysia. Perpaduan rakyat dari
pelbagai suku kaum di negeri Sabah ini sudah lama ada dan kalau tidak
silap saya sejak zaman nenek moyang kita dulu lagi," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri SAPP 2010
peringkat negeri Sabah di Plaza Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Majlis itu dirasmikan Presiden SAPP yang juga bekas Ketua Menteri Sabah
Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Hadir sama isteri Teck Lee Datin Seri Panglima Stella Yong, Penasihat SAPP
Datuk Murshidi Nambi, Penasihat SAPP Datuk Francis Yap, Timbalan Presiden
SAPP merangkap Ahli Parlimen Sepangar Datuk Eric Majimbun dan Timbalan
Presiden SAPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew
Teck Chan.
Turut hadir Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong, ADUN Luyang
merangkap Ketua Wanita SAPP Melanie Chia, Naib Presiden Amde Sidik, Naib
Presiden Don Chin dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi SAPP serta ahli
politik veteran Datuk Saidi Lampoh.
Mohd Noor berkata, perpaduan rakyat Sabah yang terdiri dari pelbagai
suku kaum sentiasa kukuh dan tidak pernah goyah.
Katanya, rusuhan kaum pernah berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei
1969 sehingga menimbulkan keadaan tidak menentu.
Menurut beliau, peristiwa seumpama itu tidak pernah berlaku di Sabah
kerana rakyat di negeri ini sentiasa menghormati antara satu sama lain
sehingga mereka dapat tinggal bersama secara harmoni.
|