|
Kursus Motivasi untuk ahli-ahli wanita
KOTA
KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang merangkap Ketua Wanita Parti
Maju Sabah (SAPP) Melanie Chia telah diundang untuk memberi ceramah di
Kursus Motivasi untuk ahli-ahli Wanita SAPP di Kanibongan, Pitas.
Kursus Motivasi sehari anjuran Wanita SAPP Zon Utara itu diadakan di
Kampung Sulakolung dan telah dihadiri seramai 130 pesrta terdiri dari ahli
parti dari 12 buah Cawangan SAPP di sekitar Kawasan Kanibongan.
Kursus itu mempunyai dua Kertas Kerja dimana Kertas Pertama bertajuk "Peranan
Wanita Dalam Pilihanraya Umum Ke-13" yang bertujuan untuk memberi
kefahaman kepada kaum wanita tentang peranan dan tanggungjawab wanita
dalam pilihanraya itu yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa
sahaja.
Kursus itu seterusnya memberi peluang kepada para wanita mempersiapkan
diri untuk menghadapi apa jua cabaran dalam PRU13 kelak. Ceramah tersebut
telah disampaikan oleh Cik Maria Nobleza, Naib Pengerusi EXCO Wanita SAPP.
Kertas Kerja Kedua bertajuk "8 Perkara" yang bertujuan untuk memberi
kefahaman kepada para ahli wanita tentang hak dan autonomi rakyat Sabah
yang harus diperjuangkan dan dituntut bagi menjamin hak-hak dan masa depan
dan genarasi akan datang.
Ceramah
tersebut telah disampaikan oleh YB Puan Melanie Chia, Ketua Wanita SAPP
merangkap Wakil Rakyat Luyang.
Melanie juga amat terharu dengan keadaan di Kampung Sulakolung, Kanibungan
dimana beliau berkata bahawa walaupun rakyat Sabah menyambut Hari Malaysia
yang ke-47 tahun, tetapi penduduk di Kampung Sulakolung dan kawasan
sekitarnya masih menggunakan air hujan sebagai sumber air seharian.
Katanya, keadaan jalan raya juga masih tidak berturap, manakala
infrastruktur dan kemudahan asas lain juga didapati terabai.
Beliau berkata, barangan keperluan seharian juga didapati terlalu mahal
sedangkan majoriti penduduk hanya berkerja sebagai petani dan nelayan yang
rata-rata berpendapatan rendah.
Melanie juga amat terharu, bila penduduk mengadu tentang hal tanah kampung
yang telah diduduki bertahun-tahun lamanya tetapi malangnya telah diambil
oleh syarikat dari Semenanjung.
Para penduduk mendakwa bahawa mereka tertipu oleh syarikat-syarikat itu
kerana tidak menunaikan semua perjanjian yang telah dibuat sebelum masuk
ke kawasan perkampungan penduduk tersebut.
Justeru itu, Melanie mengingatkan, apa yang sedang mereka hadapi ini akan
menyedarkan mereka dan seterusnya rakyat Sabah untuk terus berjuang bagi
mempertahankan hak-hak mereka sebagai rakyat negeri ini.
Melanie juga menyeru kaum wanita agar berganding bahu bersama suami untuk
meningkatkan taraf hidup dengan mempelajari berbagai bidang yang
dianjurkan oleh Kerajaan agar dapat memperbaiki ekonomi keluarga.
Wanita pada hari ini tidak seharusnya menyerah kalah kerana peluang bagi
mereka untuk memajukan diri adalah terbuka luas.
Turut hadir pada Kursus Motivasi SAPP ialah Ketua Wanita SAPP Zon Utara
Puan Agnes Liew, Pengerusi CLC Banggi, Encik Jaely Medong, Setiausaha Exco
Wanita Puan Helen Baikan, Setiausaha Penganjur Exco Wanita Puan Carrie
Fong Tet Ming, Ketua Penerangan Exco Wanita Puan Rita Benjamin dan AJK
Puan Rasni Bte Hj Kassim. |