Hentikan lakonan tentang menara jam Atkinson
KOTA KINABALU: Para pemimpin Kerajaan Negeri perlu hentikan lakonan
tentang projek pembangunan komersil bercampur di atas tanah milik Lembaga
Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berhampiran Menara Jam Atkinson di
sini.
Kenyataan Pengerusi LPPB, Datuk Rubin Balang baru-baru ini bahawa Pelan
Pembangunan projek itu telah diluluskan oleh Kabinet merupakan satu
kejutan kepada pihak awam kerana kempipinan Negeri merupakan pihak yang
membenarkan projek kontroversi itu diteruskan, kata Ketua Penerangan Parti
Maju Sabah (SAPP), Chong Pit Fah.
"Para pemimpin itu juga perlu maklum akan tugas masing-masing atau mungkin
ada agenda tersembunyi (kerana berpura-pura mengambil berat mengenai
perkara itu)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pit Fah berkata, SAPP hairan apabila mendapati Ketua Menteri Datuk Seri
Musa Aman, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi
Manjun serta Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Datuk Dr
Yee Moh Chai membuat beberapa kenyataan seolah-olah mereka tidak tahu
bahawa mereka sudah luluskan projek itu.
"Kenyataan mereka menimbulkan pelbagai tanggapan kerana apa yang jelas
sekali mereka adalah pihak yang telah meluluskan projek itu," katanya.
Menurut Rubin projek itu, satu usahasama diantara LPPB dan sebuah syarikat
pembangunan swasta, juga telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pusat
dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Projek itu bakal mempunyai dua buah bangunan dan salah sebuah adalah untuk
kegunaan LPPB manakala sebuah lagi adalah bangunan komersil bercampur
termasuk sebuah hotel berdekatan Menara Jam Atkinson.
Rubin juga berkata bahawa segala usaha akan diambil untuk memastikan
projek itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada bangunan bersejarah.
Bagaimanapun, Pit Fah berkata, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck
Lee juga telah menyatakan bahawa rancangan LPPB membangunkan tanah
miliknya itu yang berhampiran dengan Menara Jam Atkinson adalah tertakluk
kepada undang-undang pemuliharaan warisan yang sedang digunapakai.
Teck Lee berkata, Menara Jam papan itu sudah dilindungi sejak 1997 di
bawah Enakmen Warisan Kebudayaan (Pemuliharaan).
Pit Fah berkata, oleh itu adalah menjadi tanjjungjawab kerajaan pada hari
ini untuk melindungi tapak tanah itu.
Menurut Pit Fah lagi, beliau pasti bahawa Masidi sebagai Menteri yang
bertanggungjawab terhadap kebudayaan di Negeri ini sedar mengenai Enakmen
itu. |