SAPP Perkemas Jentera Pilihanraya
Beaufort,
Sep 29, 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) sedang giat memperkemaskan jentera
pilihanraya bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, jentera itu akan
diperkemaskan lagi apabila barisan pemimpin yang akan dipilih pada
pemilihan parti pada November ini mengemudi parti itu.
"Kita mahu jentera pilihanraya sudah siap sedia sebaik saja Dewan Undangan
Negeri (DUN) dan Parlimen dibubarkan. Kita tidak mahu kelam kabut apabila
pembubaran itu diumumkan.
"Jentera parti akan diperkemaskan lagi apabila barisan pemimpin parti dari
peringkat bawah hingga atas sudah terbentuk pada pemilihan parti November
nanti.
"Kita mahu hanya 10 peratus daripada masa berkempen itu digunakan untuk
mesyuarat dalam pejabat manakala 90 peratus lagi untuk menjalankan
kerja-kerja berkempen meraih undi. Sebab itulah jentera parti perlu
diperkemaskan lagi dari awal supaya kita sudah sedia apabila pilihanraya
diadakan," katanya.
Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri berucap pada majlis perasmian
gabungan Mesyuarat Agung Tahunan bagi cawangan-cawangan SAPP dari enam
Jawatankuasa Pusat Kawasan (CLC) Bongawan, Membakut, Klias, Kuala Penyu,
Lumadan dan Sindumin.
Hadir sama, Datuk Rashid Haji Gador Pengerusi CLC Klias dan CLC Kuala
Penyu, Thomas Chong Dat Kueen Pengerusi CLC Lumadan dan Membakut, Amde
Sidek Pengerusi CLC Sindumin dan Jaafar Ismail Pengerusi CLC Bongawan.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Ketua Wanita merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua
Penerangan Chong Pit Fah dan Ketua Pemuda Edward Dagul.
Teck Lee berkata, persiapan awal amat penting untuk mengelak jentera
pilihanraya menjadi kelam kabut apabila DUN dan Parlimen dibubarkan secara
tiba-tiba bagi mengadakan pilihanraya baru.
Beliau berkata, SAPP berpeluang menang dan seterusnya membentuk Kerajaan
Negeri Sabah yang baru berdasarkan kepada senario politik pada masa kini
serta sokongan padu rakyat.
Katanya, pertelingkahan sesama sendiri diantara parti-parti komponen
Barisan Nasional (BN) turut membuka peluang kepada SAPP meraih sokongan
rakyat.
Sementara itu, Rashid Gador dalam ucapannya membayangkan perubahan tampuk
kerajaan akan berlaku di dalam pilihanraya ke-13 kelak.
Seterusnya beliau berharap rakyat di kawasan Klias dan Kuala Penyu
meningkatkan keyakinan diri masing-masing dan berusaha keras menambah
kekuatan parti.
Sebelum itu Thomas Chong, berkata kawasan Membakut menampakkan potensi
untuk bersaing dalam pilihanraya apabila 20 cawangan baru sudah ditubuhkan.
Beliau juga menggambarkan usaha penubuhan cawangan di Lumadan semakin
meningkat.
Sebaik majlis dirasmikan, En. Soo Soon Yong mengetuai 100 orang ahli baru
dari Klias menyerahkan permohonan keahlian.
Salah sebuah parti komponen BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima
tamparan apabila Ketua Cawangannya En. Risim Aham dari Kampung Lupak,
Beaufort yang terletak dalam kawasan Lumadan turut menyerahkan permohonan
keahlian serta mengumumkan keluar dari PBS.
Menurut Risim, beliau bertindak keluar dari PBS kerana merasakan hanya
SAPP saja yang mampu menjunjung maruah rakyat.
Seterusnya Risim berkata beberapa cawangan lagi akan turut menyertai
beliau selepas ini. |